Assalamualaikum..
Aku sudah terlelap kiranya.Tiba-tiba telefonku berbunyi. Ada mesej!
"Dah tidur? Aku nak tanya sesuatu..." Pendek sahaja mesej itu
.
Jam sudah menunjukkan pukul satu pagi. Aku agak terkejut meneerima mesej dari
dia
....................................................
“Kau selalu clubbing?”
Tidak pernah aku diajukan soalan seperti itu. Tetapi, aku segera mengerti.
Pembawakan diriku mebuatku kelihatan seperti remaja yang terlalu sosial namun
untuk menjejakkan kaki ke kelab malam agak mustahil bagiku. Aku tidak gemar
akan suasana yang bising. Soalannya itu membuatku berasa tidak senang tentang
dia. Namun, ada sesuatu antara kami yang merapatkan sekaligus menjadikan
hubungan kami boleh digelar sahabat.
Aku masih ingat lagi Fatin berkata pada Nurul,
“Rina dengan Adam itu bagai isi dengan kuku, apa cerita Rina semua tahu.”
Waktu itu Nurul bercerita tentang Adam pada aku dan Fatin. Cerita tentang
keburukan Adam. Aku mendengar sahaja. Mungkin apa yang diceritakan Nurul itu
betul. Adam boleh dikategorikan pelajar yang kurang berdisiplin. Ada sahaja
peraturan sekolah yang dilanggarnya. Namun, prestasi akademinya sentiasa berada
di tahap yang teratas. Dia pernah merangkul gelaran pelajar lelaki nombor satu
dalam tingkatan. Itulah yang membuatku kagum terhadapnya. Biarpun dia nakal,
tetapi dia masih ingin memenuhi hasrat kedua ibu bapanya. Denganku, dia tidak
sombong. Kami banyak berkongsi cerita. Kami saling bergelak ketawa. Kami saling
bantu-membantu. Kamilah penghibur di dalam kelas. Rakan-rakan sekelas mengerti
tentang persahabatan kami yang bagai isi dengan kuku.
Kedua-dua kami boleh dikatakan mempunyai perangai yang hampir sama, suka
menyakat orang lain. Cuma ada sedikit perbezaan antara kami, tatkala dia
merupakan pelajar harapan sekolah. Aku pula merupakan antara pelajar yang
ketinggalan. Namun, dia tidak pernah menjadikan itu alasan untuk menjauhi aku.
Mungkin ada yang negatif tentang dia. Kadang-kadang aku juga tidak senang
dengan sikapnya yang mudah berlagak dengan kehebatan diri dan sering memandang
rendah pada orang lain. Tetapi aku masih dapat menerimanya. Tidak semua orang
sempurna. Sebaik manapun orang itu, pasti ada kelemahannya. Adam, sebelum
mendapat tawaran di sekolah yang sama denganku, dia pernah bersekolah di sebuah
sekolah agama selama tiga tahun. Aku pula hanya bersekolah harian biasa sebelum
mendapat tawaran ke sekolah berasrama penuh kami.
Adam seperti yang dijangka, pasti mempunyai pengetahuan agama yang banyak
berbanding diriku. Secara tidak langsung, dia pernah juga memberi nasihat yang
tidak terlalu formal kiranya pada diriku. Dia tahu aku tidak memakai tudung di
luar. Dia tahu aku mempunyai teman lelaki. Dia tahu aku bukanlah seperti
pelajar-pelajar wanita di sekolah agamanya dahulu. Aku remaja perempuan yang
jahil tentang agama. Aku pelajar perempuan yang mempunyai pergaulan yang luas di
luar sekolah. Dia tahu semua itu. Tetapi mengapa dia masih mahu berkawan
denganku? Mungkin kami sama-sama tahu tentang pergaulan remaja di luar sekolah.
Cuma pengetahuan dia tentang agama jauh lebih mendalam dariku. Itu yang berbeza
tentang kami. Tidak sampai setahun aku bersekolah dan berkawan dengannya, aku
mengambil keputusan memakai tudung sepenuhnya. Allah menyampaikan utusan
melalui rakan-rakan di sekelilingku.
....................................................
Aku masih ingat pada suatu hari, aku, Adam dan rakan-rakan lain berborak-borak
di dalam kelas. Tiba-tiba Adam bersuara, “Rina, apakata aku cabar kau supaya
kau berpakaian menutup aurat dengan sempurna pada prep malam nanti?”
“Maksud kau?” aku tidak begitu mengerti.
“Maksud aku, kau memakai tudung labuh, stoking dan stoking tangan pada prep
malam nanti.”
“Mana aku nak cari tudung labuh dan barang-barang yang lain itu semua? Aku mana
pernah ada.” Aku kehairanan.
“Alah, kan ada juga pelajar sekolah ini yang bertudung labuh. Aku nak cabar kau
tahu!”
Adam mengangkat kening tanda dia bersungguh.
“Apa yang aku dapat kalau aku sahut cabaran kau?”
Aku berpendapat mesti ada habuannya. Kalau tidak, sia-sia sahaja aku menyahut
cabaran itu. “Aku beri kau dua ringgit.” Adam tersengih. Dua ringgit saja? Aku
punyalah susah nak cari barang-barang itu semua tetapi dua ringgit saja dapat.
Aku hanya mencebik.
“Tak cukup? Tak apa, kita tanya Fairul dan Hashim. Tengok mereka mahu ke tidak
turut serta.”
Adam menoleh kearah Fairul dan Hashim dan menyatakan tentang cabaran itu. Aku
lihat Fairul dan Hashim tersenyum dan mengangguk-angguk.
“Kami turut serta. Aku cabar kau dengan dua ringgit juga.” Fairul berkata.
“Aku lagi tinggi dari kau dua orang. Aku cabar kau dengan tiga ringgit.” Hashim
ketawa nakal.
“Alahai, lebih seringgit saja. Nak bangga lebih-lebih pula.” Aku mengejek
Hashim.
Jadinya, kesemua cabaran itu bernilai tujuh ringgit. Sebenarnya, aku tidaklah
mahukan tujuh ringgit itu. Tidak mungkin aku kemahuan dengan duit yang tidak
sampai sepuluh ringgit itu. Yang pasti, sudah lama juga aku berasa untuk
memakai tudung labuh macam wanita-wanita yang wara’ pakai. Cuma tiada
kesempatan. Tidak mungkin aku mahu memakainya secara suka-suka. Pasti kenalanku
akan kehairanan dengan penampilanku jika aku memakainya. Masakan tidak, sikapku
yang agak gila-gila dan tidak begitu menjaga peribadi sebagai wanita timur mahu
berpenampilan bertudung labuh. Memang suatu perkara yang paling pelik berlaku.
Petang itu, selepas habis kelas. Aku terus sahaja meluru pulang ke asrama.
Tujuanku hanya satu, mahu mencari pakaian-pakaian tersebut. Tudung labuh,
stoking dan stoking tangan. Aku meminta bantuan rakan-rakanku untuk bertanya
tentang pakaian-pakaian itu. Ramai juga yang mengetahui tentang cabaran itu.
Semestinya aku menimbulkan konspirasi terutama dalam kalangan naqibah. Mereka
tidak begitu menyetujui tindakanku yang seolah-olah mempermainkan agama dalam
menyahut cabaran yang hanya sia-sia belaka. Tetapi hati kerasku berkata mahu
meneruskan juga cabaran itu. Bukan untuk tujuh ringgit tetapi untuk merasa
memakai pakaian yang menutup aurat dengan sempurna. Tidak pernah aku menutup
aurat dengan sempurna selama aku hidup di bumi Allah ini. Jenuh juga hendak
mencari tudung labuh di asrama aku. Akhirnya, aku berjumpa dengan salah seorang
pelajar perempuan yang memang dikenali dengan wara’. Aini, orangnya semanis
namanya. Kecil molek sahaja namun begitu lemah lembut apabila berkata-kata.
Adam pernah juga bercerita tentang kekaguman dia tentang pengetahuan Aini dalam
agama. Pertama kali, aku berborak dengan Aini untuk meminjam tudung labuhnya.
Ternyata orangnya begitu peramah dan baik hati. Jauh sekali meleset anggapanku
yang wanita-wanita bertudung labuh merupakan golongan yang tidak bercampur-gaul
dengan orang ramai dan menyendiri. Aini ternyata seorang yang senang diajak
berbicara dan ringan hati untuk memberiku pinjam tudungnya. Jauh di sudut hati,
aku berasa tersentuh dengan kehalusan budi dan tutur katanya. Aku masih ingat
lagi, tudung labuh milik Aini itu berwarna biru laut. Aku mengenakan tudung itu
dengan baju kurung yang berwarna biru kehijauan. Aku lantas teringat kata-kata
ustazahku ketika aku sekolah agama dahulu.
“Nabi suka warna merah jambu, hijau, dan biru. Kenapa? Kerana merah jambu itu
warna kuku kita, lidah kita dan bibir kita. Hijau pula warna alam ini. Tidak
kurang dengan biru. Biru adalah warna laut.” Aku tersenyum.
Itulah tahun terakhir aku bersekolah agama. Selepas itu, aku langsung tidak
bersekolah agama sejak umur 10 tahun. Aku suka sekolah agama kerana aku suka
mendengar ustazah berbicara di hadapan kelas menceritakan sirah Nabi. Ustazah
begitu pandai bercerita dan aku tidak pernah jemu untuk mendengar bicara
ustazah. Ah, ternyata aku sekarang sudah jauh tersasar. Kalau aku tidak
mengikut fesyen zaman sekarang, aku akan digelar kuno! Itu yang aku takuti. Takut
digelar kuno! Malam itu, aku mengenakan tudung labuh milik Aini, baju kurung
seniorku, stoking seniorku dan stoking tangan rakanku. Kelakar bukan? Segalanya
aku pinjam dari orang lain. Keluar sahaja dari dorm, ternyata ramai yang
kehairanan melihatku. Tidak kurang juga yang terkejut dengan penampilanku. Ada
yang bertanya tentang pakaianku, namun aku lebih rela berdiam diri. Tidak mahu
memberi sebarang komen.
Apabila aku menghampiri kelas, kelihatan ramai pelajar kelasku sedang menunggu
kehadiranku. Tiga langkah, dua langkah aku hampir ke kelas. Rakan-rakan kelasku
mentertawakanku. Aku jua turut tersenyum sahaja. Tidak mampu untuk bergelak
ketawa bersama kerana aku kini adalah wanita bertudung labuh. Aku perlu menjaga
peribadi sebagai wanita bertudung labuh. Aku terus sahaja melabuhkan punggung
di kerusi. Tidak mahu melayan karenah rakan-rakanku yang begitu galak
mengusikku.
Salah seorang rakan lelaki sekelasku berkata, “Macam inilah baru yang dikatakan
wanita mahal.”
Kata-kata itu begitu terkesan dalam hatiku. Maksudnya, selama ini aku adalah
murahan? Ya Allah, apakah yang telah aku lakukan? Aku menangis di dalam hati.
Suatu perasaan yang tidak pernah aku rasakan ada dalam diriku ini. Aku berasa
begitu selamat apabila memakai tudung ini. Aku berasa tenang. Hanya Allah yang
tahu bagaimana syahdunya perasaan itu. Pada malam itu, aku hanya berdiam diri.
Adam ada juga menoleh sesekali padaku, dia hanya tersengih melihat kelakuanku
yang agak berbeza berbanding sebelum ini. Sungguh aku katakan, malam itu begitu
bermakna dalam diriku. Kesudahan cabaran itu, aku tidak mendapat tujuh ringgit
seperti yang dipertaruhkan. Aku tidak ingin mengambil pun duit itu andai mereka
mahu memberinya kerana aku telah mendapat lebih dari tujuh ringgit. Jauh lebih
bernilai dari tujuh ringgit. Berikutan malam itu, hatiku meronta-ronta untuk
mengetahui tentang Islam yang telah aku ketepikan.
....................................................
Aku mula bersungguh-sungguh mengikuti program-program agama yang dijalankan di
sekolahku. Aku juga turut mendekati al-Quran yang telah lama aku tinggalkan.
Rakan-rakanku sentiasa ada di sisi untuk membantu. Adam pula aku masih rapat
dengannya. Aku tidak pasti sama ada dia sedar bahawa dia telah membawa
perubahan besar dalam hidupku. Aku masih ingat lagi tarikh itu, 16 November
2007. Aku pulang ke rumah dengan azam baru. Aku benar-benar bertekad untuk
mengenakan tudung di kepalaku. Kenalanku pasti terkejut dengan perubahanku. Aku
sudah meninggalkan pakaianku yang ketat menampakkan susuk tubuhku. Aku tidak
lagi mengenakan pakaian yang boleh menampakkan susuk tubuhku. Aku mula mengenal
rasa malu untuk memperlihatkan bentuk tubuhku kepada lelaki. Aku sudah
memutuskan hubungan dengan teman lelaki dan tidak berhubungan dengan mana-mana
lelaki. Aku juga sudah mula membataskan pergaulanku dengan lelaki. Terima
kasih, Ya Allah. Tahun 2008, apa jadi dengan Adam aku tidak pasti? Kami tidak
lagi berada di dalam kelas yang sama. Mungkin itu yang terbaik buat kami. Mana
mungkin kami boleh berkawan rapat.
Pada tahun itu jugalah yang menyaksikan perubahan dalam diri Adam. Hari demi
hari berlalu, dia bukan lagi Adam yang kukenali dahulu. Dia kini seorang yang
tamak pada jawatan. Adam juga bukan lagi seorang rakan yang ikhlas dalam
berkawan. Apabila kami berjumpa pasti ada sahaja yang dia mahu meminta pertolongan.
Dia kini berkawan apabila akan mendatangkan kebaikan buatnya. Aku dan Adam
semakin renggang. Bukan aku seorang sahaja yang menyedari perubahan ini,
malahan Fatin sendiri berkata, “Aku nampak sungguh perubahan kalian. Bagaimana
kalian yang dulunya ibarat isi dengan kuku kini menjadi matahari dengan bulan,
tiada lagi kelihatan seperti kalian boleh bersama-sama bergelak ketawa.” Aku
hanya tersenyum mendengar celoteh Fatin.
Dalam diam, aku mengiakan kata-katanya. Aku turut jauh hati dengan sikap Adam.
Kami hanya bercakap apabila benar-benar ada perkara penting yang perlu kami
uruskan memandangkan kami bekerja di dalam biro yang sama. Adam pula sudah
banyak kali aku dengar membawa mulut yang boleh menimbulkan salah faham antara
rakan-rakan lelaki di sekolahku. Yang terakhir kalinya, aku mendapat tahu
bahawa dia telah mengkhianati rakan baiknya sejak dari kecil dengan menyebarkan
cerita yang tidak enak kepada orang lain. Bermula daripada itu aku tidak lagi
bertegur sapa dengannya. Jikalau kami bertembung di sekolah, kami ibarat dua
insan yang tidak pernah mengenali antara satu sama lain. Aku tidak pasti sama
ada aku boleh berkawan dengannya seperti dulu.
Aku tidak tahu sama ada dia pernah bercerita tentang keburukan aku kepada orang
lain. Adam juga telah dipulaukan oleh pelajar lelaki di sekolahku kerana dia
sering sahaja mereka-reka cerita tentang orang lain. Aku sungguh tidak dapat
menerima perubahan besar dalam dirinya. Kadang-kala, aku teringat kata-kata
yang berupa janji darinya padaku. ‘Aku pentingkan kawan selain keluarga aku’.
Aku benar-benar kecewa dengan dirinya. Dalam masa yang sama, aku terhutang budi
padanya. Kerana dia aku terbuka hati untuk berubah. Jikalau tidak kerana
cabaran tujuh ringgit itu, mungkin sehingga sekarang aku masih tidak memakai
tudung dan pergaulan sosialku masih lagi bebas. Mesej-mesejnya sebentar tadi
membawaku kepada kenanganku ketika tingkatan empat.
"Dah tidur? Aku nak tanya sesuatu..."
“Sudah terlelap kiranya. Mengapa?”
“Ada perkarakah yang membuat kau marah padaku? Kau tidak suka padaku lagikah?
Kita tidak seperti dulu, ketika tingkatan empat.” “Tingkatan empat sungguh
berbeza. Kau tahu bukan waktu itu aku masih lagi jahil. Tiada perkara yang aku
boleh marah pada kau. Tiba-tiba saja kau bertanya. Mengapa?”
“Bukan apa, kita rapat ketika tingkatan empat. Sungguh menggembirakan.
Sekarang, kadang-kadang kau seperti menyindir aku bila bercakap denganku.
Mungkin ada mesej yang kau mahu sampaikan padaku.”
“Kadang-kadang? Mungkin aku tersindir barangkali. Kau pun tidak kurang, banyak
berubah ketika tingkatan lima. Aku tidak pasti sama ada aku seorang sahaja yang
perasan tentang perubahan kau.”
“Aku akui ketika tingkatan lima aku sudah berubah. Tapi sekarang aku sudah
kembali seperti dulu. Maafkan aku. Aku rindukan ketika kita berada di tingkatan
empat. Sangat seronok.”
“Mungkin kau sudah belajar dari kesilapan. Aku juga rindu ketika kita di
tingkatan empat dulu. Tapi untuk kita kembali berkawan seperti dulu, mungkin
memerlukan masa. Kau selalu berbohong bila berkata. Kepercayaanku terhadap kau
sudah musnah.” “Ceritalah padaku apa yang berlaku.”
“Aku sudah lupa tentangnya. Engkau lebih tahu dari aku, bukan?”
“Apa yang mampu aku lakukan lagi, Rina. Kau sudah tidak percaya pada diriku.”
“Sesuatu yang normal, Adam. Tidak semua orang boleh percayakan kita. Aku pasti
kita boleh kembali seperti dulu. Aku belum lagi dapat melihat diri kau yang aku
kenal ketika kita pernah menjadi sahabat dulu.”
“Baiklah. Aku tidak mahu memaksa. Sekurang-kurangnya aku sudah dapat
memberitahu kau apa yang aku rasa. Terima kasih. Selamat malam.”
....................................................
Adakah aku telah melakukan dosa memutuskan silaturrahim? Tidak mungkin aku
boleh mengembalikan persahabatan kami. Dia lelaki, aku perempuan. Ada batas
yang memisahkan antara kami. Mana mungkin aku berkawan rapat dengannya. Aku
sudah berjanji untuk berubah. Aku sudah berjanji untuk menjadi insan yang lebih
baik. Janjiku bukan pada sebarangan orang. Aku berjanji pada TUHAN Yang Maha
Esa.
Hatiku berbisik, maafkan aku, Adam. Biarlah persahabatan kita berlalu begitu
sahaja walaupun pahit. Aku percaya itulah yang sebaiknya buat kita.
Semoga Allah memberi petunjuk yang terbaik.
"loqman ibrahim"
sekian.. = )